Di sebalik hasil pengauditan yang dilakukan tersebut, sebenar­nya garis panduan telah pun di­sediakan untuk dipatuhi oleh semua agensi kerajaan termasuk kementerian, kerajaan negeri dan badan berkanun namun masih terdapat kesilapan dan kecuaian yang berlaku.

Kesilapan di peringkat peran­cangan dalam melaksanakan se­suatu projek dilihat sebagai salah satu daripada teguran pa­ling ba­nyak dibuat kerana perancangan tidak dibuat dengan rapi.

Antara sedar atau tidak, apabila berlaku kesilapan di peringkat awal maka ia akan meleret pula kepada kesilapan seterusnya di peringkat pelaksanaan dan akhir­nya membabitkan pembayaran.

Ketidakcekapan di peringkat awal menjadi punca mengapa sesuatu projek itu terpaksa juga diteruskan tetapi pada masa sama memaksa sesebuah kementerian menyemak kembali peruntukan kewangan yang telah diluluskan.

Situasi itu menyebabkan pembayaran tetap terpaksa dilakukan seperti perancangan asal namun untuk memperbetulkan semula kesilapan dalam projek yang te­lah dilaksanakan itu memerlukan peruntukan tambahan.

Keadaan ini secara tidak langsung menjadi penyebab kepada pembaziran wang kerajaan dan kelemahan ini yang tidak sepatutnya dibiarkan berlaku saban tahun sehingga menyebabkan projek-projek kerajaan dilabelkan sebagai membazirkan wang negara.

Ketegasan Jabatan Audit Negara dalam menegur kelemahan-kelemahan yang berlaku dan peranan Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara dalam memantau pelaksanaan sesuatu projek dapat mendorong pihak yang bertanggungjawab bersikap teliti dan berhati-hati.

Wang negara perlu dibelanjakan secara terancang kerana rakyat sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan melalui kementerian-kementerian dan agensi di bawahnya.

Memetik Laporan Ketua Audit Negara 2016, kelemahan dari segi komunikasi antara agensi-agensi kerajaan antara punca pembaziran perlu dipandang serius supaya kesilapan sebegini dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Wang yang sudah terbazir seharusnya dibelanjakan untuk projek pembangunan yang dapat memberi manfaat lebih besar kepada jutaan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, peranca­ngan teliti harus dititikberatkan su­paya peratusan kementerian yang mencapai tahap cemerlang melangkaui 100 peratus dari se­tahun ke setahun, sekali gus men­cerminkan tahap pematuhan undang-undang dan kewangan kerajaan dipatuhi sepenuhnya.