Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd berkata, golongan pesawah perlu merubah cara kerja untuk memastikan hasil padi tidak dipotong terlalu tinggi oleh pihak pengilang termasuk syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Beliau berkata, antara perkara yang kerajaan lakukan bagi membantu pesawah mendapat hasil padi bermutu tinggi adalah menerusi Program Pengesanan Padi (RTP) iaitu program pematuhan kepada semua prosedur standard penanaman padi.

"Masalah yang sering pesawah utarakan adalah pemotongan yang tinggi hasil padi yang dibawa ke kilang sehingga mengurangkan pendapatan mereka.

"Pesawah perlu memperkasakan diri untuk melakukan yang terbaik dan tidak lagi bekerja mengikut sifir lama.

"Malah saya sarankan kepada pesawah supaya turut sama ke kilang membawa hasil padi bagi memastikan pemutuan yang dibuat pengilang tidak merugikan mereka,"katanya pada Majlis Penuaian Padi RTP Bendang Badak di sini hari ini.

Seramai 11 pesawah Bendang Badak dan 13 pesawah Bendang Padang Badak terlibat dalam penanaman padi seluas 30 hektar di bawah program RTP Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak.

Yang turut hadir, Pemangku Pengarah IADA Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah. - UTUSAN ONLINE