Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, aplikasi Weddingizy akan memainkan peranan yang sangat penting sekali gus mendekatkan jurang antara bakal pengantin dan juga usahawan perkahwinan dalam perjalanan menempuhi hari bahagia mereka.

"Aplikasi ini bakal memudahkan urusan bakal pengantin terutama dalam mencari produk dan servis yang relevan serta lebih pantas.

"Kami di pihak kementerian sendiri sentiasa menggalakkan penggunaan telefon pintar dalam bidang keusahawanan seiring dengan transformasi digital yang kita alami, maka saya percaya dengan keunikan masyarakat majmuk di negara kita, bakal pengantin boleh merealisasikan impian perkahwinan idaman mereka melalui aplikasi Weddingizi ini," katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Aplikasi Weddingizi, di sini hari ini.

Aplikasi Weddingizi bakal menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 pengusaha perkahwinan termasuk khidmat jurugambar, pakaian pengantin, katering dan banyak lagi bagi memudahkan bakal pengantin membuat pilihan perkhidmatan yang ingin digunakan.

Bagi pengguna android, aplikasi ini boleh mula dimuat turun pada 1 April depan, manakala bagi pengguna iOS bermula 1 Jun 2018. - UTUSAN ONLINE.