Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid Hamidi berkata, cadangan penubuhan sekretariat di bawah Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) itu merupakan sumbangan Malaysia bagi memperluaskan lagi program deradikalisasi untuk negara-negara yang memerlukannya.

“Pengarah Eksekutif Interpol (Jurgen Stock) sendiri telah bertemu dengan saya dan mengambil cadangan Malaysia sebagai satu cadangan yang akan dilaksana dan diselaraskan dengan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

“Malaysia bersedia berkongsi SOP (prosedur standard operasi) dengan sekretariat baharu yang akan diwujudkan itu dan akan membantu dalam pelbagai bentuk untuk merealisasikannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Antarabangsa Antikeganasan: Membanteras Pergerakan Pengganas Rentas Sempadan, di sini hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla itu disertai sebanyak 21 negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Belgium, Kanada, Filipina, Pakistan, Vietnam, Rusia dan Perancis.

Delegasi Malaysia dalam mesyuarat itu turut melibatkan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay.

Menurut Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, pihak Interpol bercadang menggunakan pusat serantaunya di Singapura untuk peringkat permulaan penubuhan sekretariat tersebut bagi menangani ancaman kumpulan militan Katibah Nusantara yang menyasarkan negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Katanya, Malaysia yang berpengalaman dan berkepakaran menjalankan program deradikalisasi sejak darurat 1948 berasa berbangga dapat memberi sumbangan kepada masyarakat antarabangsa walaupun Malaysia hanya merupakan sebuah negara kecil.

Beliau memberitahu, mesyuarat berkenaan antara lain turut bersetuju bahawa kesedaran masyarakat di setiap negara mengenai ancaman keganasan perlu ditingkatkan dan masalah-masalah keganasan perlu diselesaikan daripada peringkat punca permasalahan.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Ahmad Zahid berkata, negara-negara ASEAN perlu meningkatkan koordinasi dalam kawalan keselamatan sempadan terutamanya dalam melibatkan urusan imigresen untuk membolehkan perkongsian maklumat.

“Koordinasi dalam kalangan negara ASEAN diperlukan bagi melaksanakan Advance Passenger Screening System (APSS) di semua ‘check point’ tidak kira darat, laut atau udara agar kita dapat bukan sahaja berkongsi maklumat perisikan tetapi juga dapat melakukan tindakan cepat,” katanya.

Ujarnya, beliau menyedari beberapa negara di rantau ini tidak dilengkapi sistem pemeriksaan biometrik berikutan kos dan pelaburan yang tinggi, namun tegasnya, soal keselamatan sesebuah negara tidak sewajarnya dikompromi.

Katanya, penggunaan peralatan pengecam wajah dapat memudahkan pengesanan individu-individu yang berada dalam senarai disyaki pengganas dan memanfaatkan sepenuhnya pangkalan data yang diwujudkan menerusi Polis ASEAN (Aseanapol).