Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan keperluan semasa, kerajaan negeri masih selesa dengan emolumen dalam bajet untuk penjawat awam di Perak.

“Kita sokong kerajaan Persekutuan (cadangan mengurangkan kakitangan awam) tetapi kita akan teliti jika ada keper­luan untuk mengurangkan penjawat awam yang diambil daripada kalangan mereka yang terlibat dalam politik, itu keutamaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Tourism Perak dan Perak Transit bagi perkhidmatan bas Hop On Hop Off (HOHO) Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal dalam usaha ini, kerajaan nege­ri menyambut baik pengumuman kerajaan Persekutuan yang mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam.

Bagaimanapun jelas beliau, langkah itu me­rupakan ranca­ngan jangka panjang setelah kerajaan melihat jumlah kakitangan awam yang ramai akan memberi bebanan terhadap kewangan atau bajet negara.

Berhubung pelantikan penjawat awam berdasarkan ke­perluan politik seperti disebut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad­, Ahmad Faizal mengakui kerajaan negeri sebelum ini mengambil kakitangan daripada mereka yang bergiat aktif dalam politik di jabatan-jabatan terten­tu.

“Perkara ini kita akan lihat dan kita tidak mempunyai keper­luan mendesak untuk menggajikan ahli politik sepenuh masa.

“Jadi, perkara ini akan kita lihat keperluannya kerana ia boleh mengganggu perbelanjaan negara yang mana wang tersebut boleh diguna untuk memberi perkhidmatan lebih kepada rakyat,” katanya.