Program yang bermula serentak pada pukul 11 pagi itu diadakan di beberapa lokasi termasuk masjid, surau, sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, balai bomba dan polis serta perpustakaan.

Di peringkat negeri, program berkenaan disertai oleh 1,200 peserta di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini.

Pengerusi penganjur utamanya, Mohammad Nazari Abdul Hamid selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak berkata, program yang masuk edisi ketiga pada tahun ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Beliau berkata, majlis bermula dengan aktiviti tadarus dan khatam al-Quran diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah serta ayat 1 hingga 5 surah al-Baqarah.

“Lapan qari yang setiap satunya mewakili beberapa agensi, kemudian membaca surah al-Hujurat diketuai Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Farid Salleh.

“Disebabkan surah al-Hujurat mempunyai 18 ayat, maka setiap seorang membaca dua ayat daripada surah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini hari ini.

Hadir sama isteri kepada Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam pada itu, Mohammad Nazari berkata, majlis kemudian diteruskan dengan aktiviti tadabbur surah al-Hujurat yang antara lain menekankan solusi dalam kehidupan manusia selain ikrar terhadap al-Quran.

“Setiap peserta yang menyertai program yang diadakan di Masjid Negeri ini juga menerima senaskah al-Quran secara percuma,” katanya. - UTUSAN ONLINE