Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain Bromma, kehadiran pelabur asing lain seperti Finisar Malaysia Sdn Bhd. (syarikat pembekal produk komunikasi optik terbesar dunia) dan Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd. juga bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah membawa kepada perkembangan eksport.

"Saya turut kagum dengan pembinaan taman tema animasi pertama Asia, Movie Animation Theme Park (MAPS) di Bandar Meru Raya yang bakal membawa kesan gandaan dari segi ekonomi sekali gus menjanjikan masa depan Perak yang cerah.

"Mereka telah melabur sebanyak RM500 juta dan kebanyakan pekerjanya terdiri daripada anak-anak Perak yang kesemuanya boleh berbahasa Inggeris termasuk graduan politeknik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam serta penyampaian anugerah Juara Produktiviti yang turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Hussain.

Pada majlis tersebut, Mustapa turut menyampaikan anugerah bagi kategori pemimpin produktiviti kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Datuk Abdul Rahim Md Ariff atas usaha beliau yang komited, memiliki keazaman tinggi serta pengaruh dalam memacu kecemerlangan organisasi.

Selain itu, Mustapa juga menyampaikan anugerah bagi kategori pengamal produktiviti kepada sembilan lagi individu yang menggerakkan inisiatif penambahbaikan melalui kaedah dan teknik produktiviti sehingga membawa impak di dalam organisasi masing-masing. - UTUSAN ONLINE