Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Perak telah menunjukkan pencapaian memberansangkan di peringkat antarabangsa.

Kata beliau, antaranya Ipoh diiktiraf sebagai Bandar Perniagaan Sosial pertama di ASEAN, yang kedua di Asia dan yang kelima di dunia oleh Pemenang Anugerah Noble Muhammad Yunus pada tahun lepas.

“Perak juga mendapat peng­iktirafan sebagai The Lonely Planet yang meletakan negeri ini dalam kalangan 10 tempat mesti dilawati di dunia untuk tahun 2017 malahan Ipoh tersenarai dalam 10 bandar raya terbaik untuk dilawati di Asia.

“Ipoh juga tempat persida­ngan bertaraf antarabangsa menerusi Dialog Pangkor, menjadikan ia sebagai Davos Asia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Dialog Pangkor 2017 yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Menurut Zambry, Sultan Nazrin turut memberikan inspirasi kepada penganjuran Dialog Pangkor.

Beliau berkata, Dialog Pangkor bermula menerusi satu perbincangan biasa dengan hasrat mahu menjadikan Perak sebagai pusat kegiatan intelektual, pengetahuan dan kreativiti dan inovasi.

“Kerajaan negeri mahu membangunkan Perak sebagai negeri berasaskan ilmu pengetahuan dan membina satu model pembangunan mampan dan ekonomi yang baharu,” katanya.

Zambry turut memberikan penghargaan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang bekerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam menganjurkan Dialog Pangkor 2017.

“Kerjasama ini melambangkan hubungan strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dan menjadi aspirasi supaya Dialog Pangkor menjadi tempat pilihan dunia untuk pertemuan dalam bidang pemba­ngunan lestari amnya,” katanya.