Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun berdepan kekangan kewangan, kerajaan negeri tetap memberi keutamaan kepada usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan pembelaan.

Menurutnya, penekanan diberikan untuk memastikan segala usaha itu memberi impak kepada golongan sasar tanpa mengira batasan kaum dan agama.

“Antara program tersebut ialah Kad Perak Prihatin dengan memperuntukan sebanyak RM22 juta yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penerima.

“Setiap pemegang Kad Prihatin akan menerima bantuan sebanyak RM80 setiap bulan untuk memberi keperluan asas dan bantuan mendapat rawatan kesihatan di 400 klinik swasta yang berdaftar sehingga RM300 setahun,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) mengenai langkah yang telah diambil untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini. - UTUSAN ONLINE