Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim (gambar) yang memaklumkan, anggota serta pegawai operasi memerlukan ruang secukupnya bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mahupun pemadaman kebakaran.

Maka secara pasti beliau menjelaskan, sekiranya ruangan berkenaan dipenuhi pelbagai barangan atau objek besar, kerja menyelamat akan terganggu dan berisiko tinggi.

“Sepatutnya tidak ada benda yang boleh menghalang laluan-laluan kecemasan seperti tangga dan koridor bangunan kerana ia boleh menjejaskan peluang untuk penghuni keluar ketika kecemasan.

“Tindakan itu turut membahayakan nyawa mereka sendiri kerana diperangkap tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi S2 di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Nor, penghuni perlu mementingkan kebajikan serta keselamatan orang lain dan bukan kepentingan diri sendiri.

Ujar beliau, penghuni rumah pangsapuri atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) seharusnya bijak dalam mengutamakan aspek keselamatan memandangkan bangunan bertingkat memerlukan masa untuk penghuninya menyelamatkan diri sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Apabila berlaku kebakaran terdapat dua keadaan iaitu penghuni sukar untuk menyelamatkan diri atau kesukaran anggota bomba melakukan operasi menyelamat disebabkan halangan di laluan kecemasan premis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, keengganan mematuhi peraturan itu membolehkan pesalah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu notis menghapus bahaya kebakaran dengan denda tidak melebihi RM5,000 bagi satu kesalahan.