Sehubungan itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menyokong tindakan pihak polis yang telah memberkas beberapa individu terlibat dengan perbuatan tersebut.

Tegas beliau, tindakan individu-individu berkenaan bukan sahaja dianggap mengamalkan undang-undang rimba atau ‘law of the jungle’, malah mencabar institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan mereka menahan dan memeriksa kenderaan polis dengan menyifatkan rakyat hari ini mempunyai kuasa melakukannya adalah sesuatu yang sangat melampau dan tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

“Di negara kita, semua orang tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira sama ada rakyat, parti pemerintah mahu pun kerabat raja. Apa yang berlaku ini tidak boleh dipandang remeh dan tidak seharusnya dibiarkan berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular satu video berdurasi 44 saat menyaksikan petugas-petugas berkenaan menyoal anggota polis selain meminta membuka but kenderaan polis untuk diperiksa.

Dalam satu lagi video berasingan pula menunjukkan seorang petugas PH mempertahankan tindakan memeriksa kenderaan polis berkenaan dengan menyifatkan itu merupakan kuasa rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan orang ramai serta penyokong parti politik supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang. – UTUSAN ONLINE