Menurut pembantu peribadi Aliff Syukri yang mahu dikenali sebagai AG, urusan menyewakan kereta berkenaan dikendalikan oleh seorang pegawai jutawan itu dan pihaknya sedang mendapatkan khidmat peguam sebelum memberikan sebarang kenyataan.

Katanya, pengasas rangkaian produk D’Herbs itu kini berada di Indonesia dan dijangka pulang ke tanah air malam ini.

“Kita masih belum jelas dengan apa yang sebenarnya terjadi dan buat masa ini pihak kami sedang mendapatkan nasihat peguam sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Penyewa kereta itu merupakan seorang pelajar warganegara tempatan yang belajar di Australia tetapi sekarang berada di Malaysia kerana pulang bercuti,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Bangsar, kereta berkenaan dipercayai dinaiki dua warga asing yang turut diberkas oleh Jabatan Imigresen ekoran tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pada mulanya pihaknya menahan kereta mewah itu kerana disyaki menggunakan nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spe­sifikasi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, cukai jalan kenderaan itu didaftarkan di Sarawak dan ia melanggar Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menipu kawasan pengisytiharan penggunaan Lesen Kenderaan Motor,” katanya.

Dalam pada itu, AG turut memaklumkan bahawa Aliff Syukri akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat selepas memperoleh maklumat terpe­rinci berhubung kes berkenaan.