Pengarah Unit Agropreneur Muda dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Sukairi Samsudin berkata, seramai 3,665 usahawan tani memohon geran Agroprenuer Muda atau Geran In-Kind Contribution (IKC) tahun lalu.

Sebanyak 3,192 permohonan telah diluluskan dan dari jumlah itu seramai 975 orang adalah usahawan tani wanita.

"Permohonan program ini setiasa meningkat setiap tahun. Pada 2015 permohonan meningkat 100 peratus daripada 450 orang kepada 1000 orang.

"Berikutan peningkatan permohonan yang tinggi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan secara RM100 juta dalam Bajet 2017 untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang pertanian," kata Sukairi

Sukairi berkata demikian dalam segmen Sembang Online di Utusan Online yang membincangkan tajuk Potensi Sebagai Usahawan Agropreneur Muda.

Jelas Sukairi bagi tahun ini, melalui peruntukan sebanyak RM15 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018 program Agropreneur Muda menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan muda. Dari jumlah itu kementerian mahu 50 peratus atau 500 usahawan terdiri daripada wanita muda.

"Ini selaras dengan hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu menjadikan tahun ini sebagai tahun memperkasakan wanita dalam bidang pertanian.

"Namun 80 peratus usahawan wanita yang terpilih sebelum ini terlibat dalam industri asas tani seperti pembuatan kerepek, sambal hitam, tempoyak dan lain-lain. Jadi kita akan cuba mengalakkan mereka terlibat dalam bidang penternakan dan pertanian," jelas Sukairi.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 2014 sehingga tahun lalu seramai 5,683 usahawan muda dalam bidang pertanian telah dilahirkan melalui program Agroprenuer Muda dengan jumlah pendapatan mereka mencecah sehingga RM600,000 setahun.-UTUSAN ONLINE