Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, mereka terlibat menghasilkan 13 penyelidikan yang mempunyai nilai sitasi melebihi 500, sekali gus menjadikan bilangan sitasi Unimap sebanyak 15,554 sejak lima tahun lalu.

Titah baginda, Unimap juga mempunyai 34 penyelidik muda yang berusia bawah 40 tahun mempunyai H-Index melebihi tujuh.

"Daripada jumlah itu, empat orang dikenalpasti berpotensi untuk menjadi antara terbaik di rantau ini, termasuklah Dr. Mohd. Shukry Abdul Majid yang baru-baru ini menerima pengiktirafan Highly Cited Researcher pada Malaysia's Reasearch Star Award 2017 bagi kategori Economic Impact Researcher," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Canselor Unimap bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian penandatanganan surat hasrat (LOI) di antara Unimap dengan Odlar Yurdu University (OYU) di Baku, Azerbaijan malam semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Mohd. Fo'ad Sakdan menandatangani bagi pihak Unimap manakala OYU pula oleh Rektornya, Samir Valiyev.

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abdul Rahman dan Timbalan Rektor OYU, Jeyhun Osmanli.

Odlar Yurdu University yang ditubuhkan pada 1991 memiliki sebuah hospital yang mempunyai 500 katil bagi menyumbang kepada dana pengoperasian universiti.

Ia juga memiliki bank yang mana para penuntut boleh membuat praktikal masing-masing di situ.

Dalam program berasingan pagi tadi pula, pihak UniMAP turut mengadakan perbincangan dengan Baku Engineering University bagi meninjau peluang-peluang kerjasama akademik yang boleh diterokai secara bersama.