Dekan FKAB, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Wahab Mohamad berkata, penghasilan teknologi itu melibatkan tiga nama besar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES), UKM iaitu Prof. Dr. Mohamad Tariqul Islam, Prof. Dr. Norbahiah Misran dan Dr. Mohd. Fais Mansor.

“Dengan sokongan Universiti Teknologi Kyushu (Kyutech), Jepun terhadap projek ini, kita mampu meyakinkan negara besar lain bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di dalam negara seperti UKM ini mampu melahirkan penyelidik bertaraf dunia.

“Projek antena penampal satelit BIRDS-1 CUBESATS ini turut melibatkan beberapa negara antaranya Ghana, Mongolia, Nigeria dan Bangladesh. Ia sangat penting kepada negara Malaysia khususnya dalam membina hubungan baik dengan negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar berhubung kejayaan UKM reka bentuk Antena Penampal Satelit BIRDS-1 untuk eksperimen di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di Pusat Hubungan Antarabangsa, UKM di sini hari ini.

Yang turut hadir penyelidik Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD, Prof. Dr. Ir. Mohd. Sobri Takriff dan penyelidik Universiti Feng Chia, Taiwan, Prof. Dr. Shu Yii Wu.