Sophie Lemiere yang berada di negara ini bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan, mendakwa telah ditahan oleh seorang pegawai Jabatan Imigresen di kaunter agensi tersebut sejurus tiba dari Singapura.


Jelas Lemiere, pegawai tersebut memaklumkan kepadanya bahawa dia ditahan kerana namanya telah ditandakan berada dalam senarai polis.


“Apabila saya tiba di kaunter Imigresen, pegawai itu memandang pasport saya dan kemudian memeriksa rekod saya. Dia berkata ada masalah.


“Saya menjelaskan kepada beliau bahawa saya datang untuk hadir persidangan dan menyebut bahawa saya tahu nama saya telah ditandakan oleh polis kerana penyelidikan saya ketika (era) kerajaan terdahulu,” katanya dalam laporan polis seperti yang dilapor portal Malaysiakini hari ni.


Lemiere telah membuat laporan mengenai insiden itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan ditemani peguam, N. Surendran dan Latheefa Koya.


Sementara itu, menurut Surendran, dakwaan gangguan terhadap Lemiere adalah serius kerana dia merupakan ahli akademik terkenal yang telah mengkaji politik Malaysia bagi suatu jangka masa yang lama.


“Cukup jelas (nama) beliau diletak dalam senarai hitam oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu kerana mereka tidak gembira dengan hasil penyelidikannya terhadap kegiatan mereka.


“Kami terkejut para pegawai Imigresen memilih untuk menggunakan senarai hitam kerajaan dahulu untuk membuatkan Lemiere terpaksa melalui pengalaman buruk itu. Laporan (polis) ini memperincikan bagaimana beliau dikeji dan diugut oleh beberapa pegawai ketika kejadian itu semalam,” katanya kepada portal tersebut.


Surendran dalam pada itu turut berharap supaya pihak berkuasa termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalankan siasatan mengenai insiden tersebut.


Sementara itu difahamkan juga, para pegawai Imigresen yang terlibat juga telah memfailkan laporan mengenai insiden berkenaan dan mendakwa Lemiere telah memprovokasi dan menghina pegawai serta tidak mahu mematuhi arahan.-UTUSAN ONLINE.