Dr. Peh Chen Au, pensyarah kanan klinikal, Fakulti Ubat-ubatan, Universiti Adelaide, ber­kata, patukan ular merupakan masalah kesihatan awam utama di Myanmar, terutama dalam kalangan penduduk miskin yang bekerja di kawasan pertanian seperti di sawah padi.

Chen Au, yang berasal dari Taiping, Perak tetapi kemudian bersekolah di Pulau Pinang dan Singapura sebelum datang ke Australia, berkata, walaupun angka sebenar tidak diketahui, tetapi dianggarkan 2,000 orang mati setiap tahun akibat patukan ular di Myanmar, majoriti disebabkan kegagalan ginjal akut akibat patukan.

Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia telah menawarkan AUD$42.3 juta (RM117.63 juta) kepada universiti tersebut bagi projek selama tiga tahun untuk membantu meningkatkan pengurusan pesakit patukan ular di Myanmar.

Selain itu, menjalin perkongsian dengan pengeluar anti venom terkemuka Australia, bioCSL - untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kebolehsediaan anti venom.

Pasukan penyelidik itu bekerjasama dengan badan-badan industri dan kerajaan di Myanmar untuk mengenal pasti dan melaksanakan perubahan yang berpotensi untuk menyelamatkan nyawa.

“Melalui gabungan sistem penjagaan kesihatan berkualiti dan penyelidikan selain mempunyai industri anti venom yang terkemuka, Australia berada dalam kedudukan untuk memainkan peranan kepimpinan global melalui usaha kemanusiaan ini,” Dr Peh dipetik sebagai berkata dalam siaran media yang dikeluarkan oleh universiti itu.

Chen Au, 51, yang juga pakar perubatan ginjal di Royal Adelaide Hospital, berkata patukan ular merupakan satu daripada penyakit tropika yang paling diabaikan di dunia.

Patukan berbisa Russell viper, satu daripada ular paling berbisa di Myanmar, perlu diberi rawatan anti venom dalam tempoh satu hingga tiga jam yang pertama. – BERNAMA