Amalan itu dikatakan mempunyai persamaan dengan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Sesetengah masyarakat Islam di negara ini menjadikan amalan zikir yang diperkenalkan tarekat itu sebagai amalan yang perlu dilakukan dan tidak mengejutkan, ada dakwaan berpendapat zikir tersebut wajib diamalkan.

Menurut sumber, Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah merupakan cabang daripada Tarekat Naqsyabandiah yang diamalkan oleh kebanyakan pengamal tarekat.

“Pada awal penubuhannya, tarekat itu dikesan di Turki dan Yemen serta berkembang ke beberapa negara termasuk di United Kingdom serta Malaysia sekitar akhir tahun 80-an. Ketika itu, hanya kumpulan kecil sahaja meng­ikuti Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani di negara ini.

“Tetapi jumlah keahlian itu semakin meningkat dan semakin membimbangkan ekoran penerimaan oleh masyarakat Islam di sini yang terpengaruh dengan konsep beribadah yang dianjurkan, antara amalan ‘zikir lekas’ dan zikir sambil menari,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Kata sumber itu lagi, antara ciri yang meragukan dalam Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah adalah mewajibkan berbaiah dengan ketua tarekat selain menganggap air wuduk ketua mereka merupakan ubat.

“Ketua mereka menganjurkan amalan ‘zikir lekas’ serta beryakazah iaitu berbicara dengan Rasullah SAW ketika sedang beramal. Zikir sambil menari dan melampaui batas juga antara ciri tarekat ini,” kata sumber.

Jelas sumber itu, Tarekat Naq­sya­bandiah Al-Aliyyah juga menggunakan fahaman ‘Wehdatul Wujud’ atau ‘Kewujudan Yang Satu’ yang menjadi salah satu fahaman tunjang dalam tarekat mereka.

Fahaman ini tegas sumber tersebut, jelas bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipegang oleh masyarakat Islam di negara ini.

“Lebih 20 tahun tarekat ini berkembang di Malaysia akhirnya pada 3 April 2000, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pada 22 Januari 2002 pula, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan tarekat ini menggunakan fahaman Wehdatul Wujud yang amat bertentangan dengan amal masyarakat Islam di Malaysia.

“Dalam kajian yang dilakukan, beberapa sandaran yang digunakan dalam aktiviti keagamaan mereka seperti menggunakan sandaran hadis palsu (Hadis Maudu’). Tarekat ini turut menggunakan konsep Yakazah iaitu berkomunikasi secara realiti atau mimpi dengan Rasulullah SAW dan Allah,” kata sumber.