Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penyelesaian rundingan itu juga bersesuaian pada masanya kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan ke Beijing hujung bulan ini untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Belt and Road yang kedua.

“Dengan selesainya rundingan tentang projek ECRL, semasa di Beijing nanti kita boleh bergerak ke depan dengan perbincangan lain untuk merapatkan lagi hubungan bilateral antara Malaysia dan China,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam sempena meraikan lawatan ketua-ketua perwakilan asing ke negeri ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan di sini malam ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan projek ECRL diteruskan dengan kos yang lebih rendah selepas kerajaan Malaysia dan China melakukan rundingan selama beberapa bulan.

Kenyataan itu berkata, kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, satu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Katanya, pengurangan itu pasti memanfaatkan Malaysia dan meringankan beban kedudukan kewangan negara.

Dalam kenyataan itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Co Ltd. (CCCC) yang akan membuka jalan kepada penerusan projek ECRL. - UTUSAN ONLINE