Beliau berkata, mengikut perangkaan kebangsaan, dianggarkan kira-kira 350 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dan sehubungan itu pihak kementerian sedang mencari pendekatan yang lebih cepat yang boleh dipraktikkan untuk menguruskan rumah yang terbengkalai ini.

"Antara punca projek itu terbengkalai adalah kerana masalah kewangan, kajian awal projek yang tidak terperinci, tiada pembeli, geografi kawasan projek tidak sesuai dan tiada kemudahan infrastruktur," katanya selepas melancarkan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, di Ampang dekat sini, hari ini.

Mengenai Selangor, Zuraida berkata, sebanyak 57 projek perumahan yang terbengkalai di Selangor telah selesai dipulihkan sepenuhnya, lima buah lagi sedang dalam proses pemulihan manakala 20 lagi dalam perancangan untuk dipulihkan sejak 2009 sehingga 30 Jun lalu.

Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab tohmahan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong yang mempersoal kredibiliti kerajaan Selangor berikutan berlakunya lambakan projek perumahan terbengkalai di negeri itu. - BERNAMA.