NOOR RASHID IBRAHIM

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, penelitian itu perlu dibuat bagi memastikan sama ada kes berkenaan membabitkan kesalahan rasuah atau jenayah.

“Setakat ini tiada siasatan dijalankan kerana saya tidak pasti sama ada laporan sudah dibuat atau sebaliknya. Kemudian, kita perlu melihat laporan itu terlebih dahulu.

“Jika berunsurkan rasuah, sudah semestinya ia perlu dirujuk Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), jika terdapat kesalahan jenayah, kami akan siasat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Undang-undang Pencegahan Keselamatan Negara atau Hak Asasi di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras di sini hari ini.

Forum selama dua jam itu dihadiri oleh 550 anggota dan pegawai yang mengikuti Kursus Diploma Sains Kepolisan.

Panel forum berkenaan terdiri daripada dua Pensyarah Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi dan Profesor Madya Dr. Azmi Sharom dan moderator, Datuk Razali Basri.

Pemuda Amanah Terengganu hari ini mendesak siasatan segera berhubung penyebaran salinan transaksi pemindahan wang daripada UMNO kepada Pas seperti tersebar ketika ini.

Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Nasir berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang RM1.5 juta daripada pegawai khas Bendahari UMNO kepada Tabung Pembangunan Jawatankuasa Jabatan Pemba­ngunan Pas Pusat (JPP) dan RM1 juta kepada Shukrimun Shamsudin serta dua penama.

Sementara itu ketika ditanya sama ada PDRM akan memang­gil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memandangkan pemimpin tersebut dipanggil SPRM, Noor Rashid membe­ritahu, tiada ke­perluan untuk memanggil Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.