Penerjun wanita negara, Leong Mun Yee berkata, beliau akui atlet bidang sukan berpotensi menjadi mangsa penyebaran berita palsu terutamanya menjelang kejohanan.

“Sesetengah orang suka mencipta sesuatu berita palsu semata-mata untuk tular dan menjadikan atlet sebagai sasaran menjelang acara-acara sukan besar.

“Sebab itu bagi saya sangat penting untuk ketetapan undang-undang khas diwujudkan sebab ini akan menjadi masalah untuk sesetengah atlet yang mungkin boleh hilang tumpuan untuk menjalani latihan sekiranya terpalit dengan berita palsu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai hasrat kerajaan untuk mengkaji satu undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini.

Sementara itu, pe­main tengah skuad hoki negara, Muhammad Razie Abd. Rahim berkata, penyebaran berita palsu sedikit seba­nyak akan memberi kesan terhadap pres­tasi dan fokus atlet tersebut terutamanya semasa kejohanan berlangsung.

“Tetapi semuanya bergantung kepada sesuatu berita itu dan bagaimana atlet tersebut menanganinya. Jika berita itu tidak melibatkan orang lain, saya rasa tidak menjadi beban yang berat.

“Tetapi akan lebih teruk jika berita palsu itu melibatkan orang di sekeliling mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan mewujudkan akta bagi menyekat penyebaran berita palsu.

“Golongan artis adalah antara mangsa utama bagi berita tidak benar dan kini ia sudah jadi tidak terkawal sehingga boleh memberi kesan kepada periuk nasi mereka dan emosi keluarga.

“Jadi saya harap undang-undang yang tegas perlu ada dan kes-kes yang melibatkan pesalah perlu didedahkan supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini ada rasa takut untuk menyebarkan berita palsu,” katanya.