Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak terkecuali menyatakan bantahannya terhadap individu yang melakukan tindakan terhadap penyanyi kumpulan Slam itu ketika dia ditahan polis atas dakwaan berkaitan dadah.

Siti Nurhaliza melalui akaun Instagramnya telah menyiarkan semula kenyataan akhbar, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat yang dikongsi kakak ipar yang juga pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak dengan menyatakan ‘Hormatilah maruah insan lain’.

Dalam pada itu, orang ramai dilihat terus membantah perbuatan penyebaran rakaman video yang dilihat keterlaluan dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera bertindak menahan pelakunya serta mengenakan tindakan undang-undang setimpal dengan perbuatannya.

‘Kizzy Fauzi’ menerusi akaun Twitter miliknya meminta supaya PDRM menyiasat perkara itu dengan adil dan perlu menangani kes tersebut seperti kes-kes jenayah lain.

“Kes buli di sekolah dikecam, kalau macam ini kes buli di penjara pun harus dikecam. Jangan berat sebelah. Kerajaan mesti adil,” katanya.

Turut berkongsi perasaan sama, ‘Khairul1390’ yang hairan mengapa kejadian merakam dan menyebar video pendek itu berlaku dalam kalangan anggota PDRM.

“kepada @PDRMsia kenapa ada anggota yang membuli ZamaniSlam begitu rupa... adakah tindakan itu wajar???,” katanya.

Sementara itu, turut tidak ketinggalan, pengguna laman sosial Facebook, ‘Raja Muda Hasyim’ turut meluahkan coretan khas buat Zamani yang diambil daripada tajuk-tajuk lagu popular penyanyi terbabit.

“Abang, jangan biarkan ‘Gerimis Mengundang’ terus berpanjangan dalam hidupmu. Biarlah ‘Mentari Muncul Lagi’, kerana hidup ini kita perlukan ‘Nur Kasih’ agar ia ‘Damai Dihati,” katanya.

Dalam pada itu, ‘Eija_hasliza’ turut memberikan komen di Instagram miliknya dengan mendoakan supaya semua perkara yang berlaku dapat menjadikan bekas vokalis itu berubah ke arah yang lebih baik.

“Semoga segala urusan abang Zamani Slam dipermudahkan. Sedih tengok dia dimalukan sebegitu rupa. Harap abang Zamani berubah, kita sama-sama mendoakannya, amin ya rabbal alamin,” katanya.