Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, selepas penurunan harga petrol dan diesel, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentunya akan berusaha memastikan kos sara hidup rakyat turut akan turun.

"Harga minyak RON95 dan diesel dah turun. Insya-Allah menyumbang ke arah menurunkan kos barang dan kos kehidupan rakyat, satu persatu kita uruskan.

"Memang ada niat dan usaha ke arah itu semua, tidak seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu. Niat pun tiada, apatah lagi usaha," katanya menerusi hantaran dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan harga RON95 serta RON97 diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter manakala harga diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter mulai tengah malam tadi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penetapan harga runcit petroelum akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini. - UTUSAN ONLINE