Katiravan Subarayan, 57, berkata, tujuh negara yang bakal dijelajahnya ialah Thailand, Myanmar, Bhutan, Nepal, India, Pakistan dan Bangladesh yang mana, perjalanan dimulakan di Malaysia.

Menurut Kativaran, beliau faham jika ada yang beranggapan, aktiviti yang dilakukannya ini hanyalah satu aktiviti yang biasa-biasa sahaja.

“Sebenarnya, misi jelajah yang saya lakukan ini ada tujuan iaitu memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya kita mengekalkan ekosistem termasuklah pemanasan global yang kini semakin kritikal ekoran perbuatan menebang pokok secara berleluasa dah tanpa had ataupun kawalan.

“Bermula dari tahun 2013, saya bergerak menunggang motosikal menjelajah sehingga ke negara China. Ketika itu, saya bergerak bersama-sama dengan 12 lagi motosikal yang lain.

“Tahun lepas, saya bersama 10 orang penunggang lain menjelajah ke Thailand dan Singapura.

“Jadi, untuk kali ini, saya memilih untuk bergerak secara solo dengan mengambil tempoh masa penjelajahan sehingga 64 hari.

“Kiranya ini merupakan penjelajahan bermotosikal saya yang paling jauh iaitu dianggarkan kira-kira 21,000 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada perasmian Misi Jelajah S. Katiravan Ke-7 negara di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cheras, Tam Kok Wai dan Pengurus Besar Pusat Beli Belah Viva Home, Alex Chuah.

Pada majlis yang sama, kira-kira 20 motosikal berkuasa tinggi turut serta dalam pelepasan bendera Katiravan sebagai tanda sokongan moral dan semangat kepada penunggang solo itu.

Katiravan berkata, selain daripada persiapan mental dan fizikal sebelum memulakan perjalanan, awal-awal lagi beliau telah membuat persiapan dokumentasi termasuk visa bagi mengelakkan sebarang masalah sepanjang misi solonya itu. - UTUSAN ONLINE