Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak buku baharu dapat dihasilkan di negara ini sekali gus membantu mencapai taraf negara maju.

Katanya, adalah sesuatu yang merugikan apabila tamadun negara yang memiliki kepelbagaian bangsa, agama dan budaya hari ini hanya diperoleh menerusi kata-kata, sebaliknya ia perlu dicatatkan dalam penulisan selain menjadi rujukan kepada generasi akan datang.

“Ciri-ciri sebuah negara maju pula diukur apabila berjaya menghasilkan 1,000 buah buku untuk setiap sejuta rakyat, ini bermakna Malaysia perlu menghasilkan 30,000 buku judul baharu sebab populasi masyarakat telah mencecah 30 juta orang.

“Malangnya, kita jauh ketinggalan apabila Yayasan Pembangunan Buku Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia merekodkan hanya 15,000 hingga 17,000 buah buku baharu dikeluarkan pada tahun lalu sedangkan populasi masyarakat ketika itu mencecah 28 juta orang.

“Justeru, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu mula menulis hari ini. Tidak kiralah dalam bahasa apa sekali pun kerana ia adalah permulaan untuk kita membangunkan tamadun negara ini,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika melancarkan buku berjudul Sejuta Jiwa Yang Telanjang tulisan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Buku Sejuta Jiwa Yang Telanjang yang dijual RM18 senaskhah terbitan Lejen Press merupakan penulisan pertama Budiman yang mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkannya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin memberitahu, industri seni tempatan termasuk filem dan muzik perlu mencontohi fenomena K-Pop yang kini berjaya menembusi pasaran seluruh dunia serta menjadi kegilaan golongan remaja.

Katanya, K-Pop berjaya membuktikan perbezaan bahasa bukan satu halangan untuk diminati kerana yang paling utama adalah kualiti produk itu sendiri.

“Industri seni tempatan tidaklah jauh ketinggalan contohnya filem animasi Upin Ipin yang berjaya ditayangkan di saluran Disney namun kita tidak boleh bergantung pada satu produk itu sahaja.