Bercakap kepada Mingguan Malaysia hari ini, Pengerusi Persatuan Sri Pentas India Kuala Lumpur, Thanabalan Sinniah berkata, keadaan itu berlaku ke­rana mereka yang terbabit dalam penghasilan skrip berkenaan ­berada di India dan gagal menyelami kehidupan masyarakat India di sini.

Beliau mengakui skrip ber­kenaan sensitif dan perlu dibuang kerana akan menimbulkan persepsi negatif seluruh dunia terhadap kerajaan Malaysia.

“Ya, semalam saya menonton filem itu. Sejujurnya, saya kecewa kenapa skrip Rajinikanth terlalu keterlaluan? Selain itu, kenapa perlu mengaitkan gengsterisme dengan masyarakat India?

“Pengarah dan penulis filem ini seolah-olah tidak memikirkan kesan persepsi masyarakat seluruh dunia terhadap orang India di Malaysia. Bukan semua orang India gengster dan mana ada orang jadi hamba lagi di sini,” katanya.

Tambah Thanabalan yang juga pengarah dan penerbit filem Tamil tempatan, pihak berkuasa khususnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sepatutnya mengambil tindakan supaya babak dan skrip itu dibuang.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana Rajinikanth mempunyai impak yang cukup besar dalam mempengaruhi rakyat di India.

Filem itu memaparkan Rajinikanth melakonkan watak seorang gengster bernama Kabali yang menentang amalan songsang dalam kalangan masyarakat India.

Semalam, ratusan peminat pelakon Tamil itu sanggup meredah hujan dan kesesakan lalu lintas bagi menonton tayangan perdana filem tersebut di sebuah pawagam di sini.