Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan 771 pesakit tibi yang direkodkan pada tahun lalu terdiri daripada rakyat tempatan.

Katanya, kematian akibat penyakit itu turut tinggi dengan sebanyak 79 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu. 

"Oleh itu, pengesanan awal sangat penting supaya rawatan segera diambil dan pesakit sembuh," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Karnival Sihat Milikku Terengganu 2018 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Dataran Permata, di sini hari ini. 

Yang hadir sama, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Karnival itu, Dr. Mohd. Jusoh.

Karnival bersama komuniti selama dua hari yang bermula semalam itu merupakan platform terbaik dalam memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara dekat tanpa perlu hadir ke klinik.

Mohammad memberitahu, Jabatan Kesihatan negeri telah menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti melalui 48 klinik kesihatan termasuk yang terbaharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di samping 128 klinik desa dan 15 Klinik 1Malaysia. 

Selain itu, katanya, jabatan juga mempergiatkan kempen penggalakkan imunisasi susulan hasil kajian yang dijalankan mendapati antara faktor berlaku keciciran itu adalah sikap ibu bapa yang khuatir tentang keselamatan kandungan vaksin.

Di samping itu terdapat kalangan suami tidak memberi keizinan, selain penggunaan alternatif seperti herba bagi menolak  vaksin yang dianggap shubhah dan tanpa sebarang alasan. 

"Ibu bapa yang menolak vaksin dikenal pasti oleh pihak klinik kesihatan dan telah mengadakan sesi dialog bersama kumpulan itu bagi memberi kesedaran tentang kepentingan vaksin sekali gus memperbetulkan salah faham terhadap penggunaannya," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE