Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru kaunseling kini berhadapan pelbagai cabaran dan memerlukan latihan pembangunan modal insan bagi mendepani cabaran masa akan datang.

“Sehubungan itu, sudah tiba masanya barisan guru kaunseling perlu dipersiapkan diri dengan latihan tertentu agar mereka lebih bersedia dalam membentuk sahsiah pelajar dan murid.

“Kita sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat latihan itu sama ada ia mempunyai premis sendiri atau dilaksanakan di Institut Aminuddin Baki,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Sedekad Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling kementerian, Normazwin Yahya.

Pada masa sama Mahdzir menjelaskan, bilangan guru kaunseling di seluruh negara kini mencukupi bagi menampung keperluan jumlah murid dan pelajar seluruh negara.

Katanya, kini terdapat 10,800 guru kaunseling di sekolah rendah dan menengah, manakala 300 lagi bertugas di pelbagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kita menetapkan nisbah seorang guru kaunseling untuk 500 pelajar di setiap sekolah. Jika terdapat 900 pelajar, maka dua guru kaunseling diperlukan,” katanya.

Menurut Mahdzir, guru kaunseling kini berada di landasan betul ke arah pembentukan kemenjadian pelajar seperti mana digariskan pelan pendidikan kebangsaan.