Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, NADMA bertindak sebagai satu pusat penyelarasan dengan peranan bersama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan dengan pengurusan bencana.

“Agensi ini diberikan tanggungjawab khusus untuk menguruskan apa juga bencana yang berlaku di negara ini. Sebelum ini di bawah pengurusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang kini memberi fokus menguruskan keselamatan negara,” katanya.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke daerah ini menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan pusat penempatan mangsa banjir di Felda Seberang Tayor di sini hari ini.

Dalam majlis itu, itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa banjir dan cek pampasan perlindungan insurans kepada 15 Pengerusi jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Zaitun Abdul Samad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agensi itu ditubuhkan atas pengajaran daripada bencana

banjir terburuk yang melanda Kelantan tahun lalu.

Menurutnya, NADMA yang diwujudkan di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akan memastikan semua mangsa bencana mendapat bantuan sewajar selain bencana diuruskan dengan efisien dan terancang.

Katanya, antara langkah yang sudah diambil termasuk pendaftaran mangsa banjir lebih awal sehingga mampu membantu mengurangkan masalah kesesakan di pusat-pusat pemindahan sebagaimana sebelumnya.

Malah katanya, menerusi NADMA juga membolehkan penyediaan tempat pemindahan, mobilisasi aset dilakukan selain membantu mangsa banjir menikmati perlindungan insurans menerusi bayaran premium dengan kerjasama dua syarikat insurans.

“Oleh kerana agensi yang kendalikan banjir menghadapi kekurangan aset, menerusi pendekatan bayaran premium ini sebahagian daripada wang itu dapat digunakan untuk membeli aset yang tidak cukup seperti bot dan kenderaan berat dalam menguruskan banjir,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, melalui pendekatan bayaran insurans tersebut, mulai tahun ini setiap keluarga mangsa banjir yang memengang polisi akan menikmati perlindungan premium bagi meringankan lagi beban mereka.

Beliau memberi jaminan, pembayaran insurans bagi bencana seumpama itu juga akan diperluaskan ke seluruh negara dan kerajaan sedang menimbang kemungkinan mangsa tidak perlu membayar polisi itu kelak.

“Kita dah mulakan, NADMA telah jemput beberapa syarikat buat persembahan dan kami telah sediakan kertas kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan,” ujarnya.