Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu terdiri daripada 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin industri.

"Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

"Matlamat utama Majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya di sini hari ini.

Dr. Mahathir sebelum ini memberitahu bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan satu badan yang akan meneliti dan membuat keputusan berhubung ekonomi negara seperti peranan yang pernah dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menentukan semua masalah ekonomi akan dibawa kepada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, majlis tersebut juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

Katanya, pelantikan ahli-ahli majlis terlibat berkuatkuasa serta merta.

"Sekretariat bagi majlis ini adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Berikut adalah senarai ahli-ahli majlis:

* Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi

* Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

* Menteri Kewangan, Lim Guan Eng 

* Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrell Leiking

* Menteri Kerja Raya, Baru Bian

* Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid

* Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz

* Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz 

* Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof. Jomo Kwame Sundaram

* Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek 

* Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr. Hasnita Hashim

* Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen

* Pengerusi ASEAN Business Advisory Council, Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid 

* Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. Paul Selvaraj 

* Peguam, Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah

* Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA, Nizam Mahshar - UTUSAN ONLINE