Tunku Abdul Aziz Ibrahim

Penubuhan JITN pastinya membabitkan penggunaan dana rakyat yang banyak selain Malaysia mempunyai lambakan agensi membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Pengasas Transparency International Malaysia, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang bersungguh-sungguh mahu menubuhkan jabatan baharu itu dan menyifatkan penubuhan sebuah lagi agensi kerajaan semata-mata untuk membanteras rasuah sebagai tidak perlu dan perkara bodoh.

Katanya, tugas itu boleh dimainkan ba­nyak agensi kerajaan yang sedia ada terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sen­diri boleh dibendung bermula dari bangku sekolah lagi atau ibu bapa, bukan dengan cara memperbanyakkan lagi agensi antirasuah. Saya khuatir atas nasihat kurang bijak, Kabinet membuat satu kesilapan dengan membenarkan penubuhan JITN. Sekiranya penubuhan ini tidak membawa sebarang erti munasabah, ia bagaikan ‘bola tanggung’ untuk membolehkan kerajaan dikecam pelbagai pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Paul mencadangkan penubuhan JITN sebagai usaha menerajui transformasi perubahan bagi membina kapasiti institusi terutama dalam kalangan penjawat awam, namun ditolak SPRM kerana ditafsirkan bertindih dengan pe­ranan suruhanjaya tersebut.

Tunku Abdul Aziz berkata, Paul selaku orang lama sepatutnya tahu kaedah terbaik untuk membanteras korupsi dan bukan sekadar mengejar populariti me­lalui penubuhan JITN.

“Beliau kekeringan idea dan sebagai seorang menteri, beliau tidak seharusnya mencadangkan penubuhan jabatan baru. Cada­ngan itu seakan memperlekehkan agensi penguatkuasaan yang telah lama diwujudkan.