Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, penubuhan jawatankuasa itu dilihat tepat pada masanya berikutan terlalu banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam kebelakangan ini.

“Kita menjunjung kasih kepada Majlis Raja-raja di atas perkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Insitusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dan mengucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang dilantik.

“Berdasarkan pengalaman serta kepakaran mereka, tugas dan tanggungjawab ini akan dapat ditunaikan dengan berkesan sejajar dengan titah Raja-raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Majlis Raja-raja berkenan menubuhkan Jawatankuasa Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima ahli termasuk tokoh agama dan akademik bagi menambah baik institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan.-UTUSAN ONLINE