Penubuhannya adalah seiring dengan inspirasi Unimap untuk meningkatkan aktiviti pengko­mersialan melalui inovasi, tek­nologi serta kepakaran yang dimiliki oleh tenaga akademik.

Selain itu, ia juga berperanan merealisasikan peranan universiti sebagai pemangkin pemba­ngunan ekonomi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).

ROSNI BAKAR
ROSNI BAKAR 

Objektif utama CIPC bukan sahaja untuk memajukan pengko­mersialan produk-produk penyelidikan berasaskan harta in­telek, tetapi juga memantau prestasi projek-projek pengkomersialan Unimap agar beroperasi dengan lancar dan menjana kewangan universiti.

Menurut Pengarah CIPC, Prof. Dr. Rosni Bakar, sebelum penubuhan CIPC, tumpuan Unimap ketika itu adalah kepada pengumpulan harta intelek yang berjaya dimiliki.

Katanya, dari tahun 2009 sehingga 2018, Unimap telah berjaya memiliki 189 harta intelek sama ada yang telah mene­rima perlindungan sepenuhnya (granted) atau pun di peringkat pemfailan (filing).

“Di dalam usia penubuhannya yang terlalu muda, CIPC telah berjaya memberi impak yang cukup besar kepada Unimap ke arah pengkomersialan harta intelek universiti itu.

“Kejayaan itu dapat dilihat apabila di dalam tempoh tiga bulan pertama penubuhannya, Unimap telah berjaya mengeluarkan beberapa syarikat terbitan yang dimiliki oleh tenaga akademik Unimap.

“CIPC juga telah berjaya menarik minat sebuah syarikat swasta untuk melabur di dalam teknologi yang dibangunkan oleh Unimap melalui pelesenan harta intelek,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Dr. Rosni, pihaknya menggunakan dua kaedah dalam mengkomersialkan harta intelek tersebut iaitu melalui pelesenan harta intelek dan jualan terus harta intelek.

“Dengan penubuhan CIPC ini, penjanaan kewangan melalui inovasi dan teknologi Unimap telah mula menampakkan hasil. Unimap akan mendapatkan pulangan dalam bentuk pelesenan dan royalti,” katanya.

Katanya lagi, CIPC harus be­kerja keras bagi menarik minat syarikat-syarikat swasta untuk terus melabur di dalam teknologi yang dibangunkan oleh para penyelidik Unimap.

Ujarnya, Unimap juga perlu menjalinkan hubungan kerjasama yang strategik dengan pihak industri dan agensi kerajaan bagi me­majukan teknologi universiti itu.

“Ini bukan sahaja dapat meningkatkan aktiviti pengkomersialan tetapi juga dapat membangunkan penduduk dan ekonomi setempat, khususnya kepada negeri Perlis sendiri,” katanya.