Presiden Persatuan Generasi Transformasi Ruminan (GTR) Zon Selatan, Kamarulzaman Jalil berkata, permit sembelihan bagi tujuan adat itu amat penting dalam menjamin kesihatan haiwan daripada penyakit berjangkit.

Menurutnya, para penternak tidak ada masalah dengan peraturan tersebut yang termaktub dalam Akta Binatang 1953, namun berharap jumlah caj tersebut dapat dikurangkan.

"Kita tiada masalah dengan peraturan yang diguna pakai sejak 1953 itu, tetapi pada masa sama mengharapkan keprihatinan kerajaan negeri untuk mengurangkan jumlah itu.

"Kami mencadangkan bayaran RM40 bagi mendapatkan permit sembelihan termasuk RM5 bagi sijil kesihatan dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus menjadi RM20," katanya ketika ditemui di Padang Ragut Lubuk Bakul, Pagoh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Penasihat GTR Zon Selatan, Azman Md. Rasip; Timbalan Setiausaha GTR, Noor Akma Walid dan pengusaha padang ragut berkenaan, Mohd. Fazli Masrom. -UTUSAN ONLINE