Baginda yang berada di Pulau Pinang bagi menghadiri program ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di salah sebuah hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang berkenan menerima ‘Nota Taklimat Perjalanan Istiadat’ yang dipersembahkan oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Wira Md Tajri bin Alwi dan Pengarah Pengurusan Latihan Tentera Darat, Brig Jen Datuk Hj Hasim bin Jabar lewat petang semalam.


Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) akan memeriksa perbarisan yang melibatkan seramai 1,202 orang Pegawai Kadet daripada 19 buah IPTA di Padang Kawad manakala dalam sesi ke dua sejurus selepas itu seramai 1,789 orang akan menerima watikah tauliah PALAPES Darat, Laut dan Udara masing-masing daripada baginda di Dewan Tuanku Syed Putra USM.


Dijadualkan berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Keberangkatan baginda berdua ke istiadat gilang gemilang sarat dengan tradisi ketenteraan itu akan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Binti Ismail.