Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, mereka mahu menilai bagaimana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyusun Kabinet.

Menurut beliau, rakyat juga sedang memerhatikan usaha Dr. Mahathir menstabilkan parti selain agenda-agenda membabitkan cukai barang dan perkhid­matan (GST), penyiasatan skandal, pengurusan Felda dan pelbagai perkara lain.

“Pengumuman beliau untuk memegang jawatan nombor satu negara tidak mengejutkan kerana dari awal telah dimaklumkan dan bagi memperbaiki beberapa perkara.

“Saya melihat apa yang diberikan tumpuan oleh Dr. Mahathir adalah dalam tempoh 100 hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan tentang Dr. Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri hanya untuk satu atau dua tahun.

Sivamurugan berkata, apabila semua perkara itu dipenuhi, Dr. Mahathir tentu akan menyusun langkah-langkah peralihan kuasa jika situasi membenarkan beliau berbuat demikian.

Pensyarah Pusat Pe­­ngajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti ­Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin melihat pe­ngumuman Dr. Mahathir itu tidak akan membawa kesan kepada ekonomi negara kerana kerajaan mempunyai pasukan penasihat yang kuat.

“Kedudukan ekonomi negara kukuh apabila lima nama besar dan berpengalaman dalam bidang ekonomi di negara ini di­pilih dan mereka juga bersetuju untuk menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan.

“Namun jika Dr. Mahathir (menamatkan pentadbirannya) lebih lama sudah tentu banyak perkara dapat dilaksanakan berbanding hanya dua atau tiga tahun. Beliau juga mempunyai pengalaman mentadbir negara selama 22 tahun,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga perlu memberikan masa kepada kerajaan untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada mereka.

“Tindakan Dr. Mahathir me­ngumumkan untuk memimpin negara selama dua tahun itu juga dilihat membawa kebaikan dari segi ekonomi,” katanya.