Beliau berkata, memang menjadi agenda utama pihaknya untuk segera mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perkara itu.

"Sekarang Kettha (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) kawan kita, Putrajaya sahabat kita, jadi saya kira Insya-Allah penstrukturan semula industri air akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas mengumumkan portfolio 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua anggota Exco terdiri daripada tujuh muka baharu dan tiga muka lama mengangkat sumpah menyimpan rahsia rasmi kerajaan negeri dan sebelum itu telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang, pada Isnin lepas.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pakatan Harapan akan mengadakan pilihan raya kecil bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kerajaan, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata keutamaan akan diberikan kepada pembentukan kerajaan Persekutuan terlebih dahulu. - BERNAMA