Sungguhpun menerima keadaan bahawa dia seorang yang buta huruf, Taib tidak pernah pula menjadikannya alasan untuk tidak membina kejayaan dalam hidup sehingga mendapat pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).


RISDA baru-baru ini memberikannya Anugerah Pekebun Kecil Perdana sempena Majlis Perhimpunan Pekebun Kecil Peringkat RISDA Perlis sebagai mengiktiraf kegigihannya melakukan kerja-kerja menoreh getah dari usia muda sampai kini sudah berusia, sehingga mampu menikmati kesenangan hidup hasil titik peluhnya.

Lebih membanggakan Taib yang buta huruf bersama-sama isteri Siti Esah Darus, 69, mampu menyekolahkan dua anak mereka sehingga berjaya bergelar profesor dan pendidik.

“Masa mendirikan rumah tangga saya berusia 21 tahun dan Siti Esah pula 16 tahun. Kami berdua bertungkus-lumus bersama-sama mengusahakan kebun getah peninggalan ayah.

“Selepas dikurniakan dua cahayamata iaitu Mohd. Rozainee dan Siti Rohaizah, kami mula merancang hidup dengan serius,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Telela, Pauh dekat sini hari ini.


Taib tidak akan melupakan pengalaman mengayuh basikal sejauh tiga kilometer untuk menghantar kedua-dua anaknya ke sekolah. Memandangkan pendapatannya yang kecil sebagai penoreh getah, dia tidak mampu menyajikan makanan mewah untuk anak-anaknya namun dia akan memastikan yang mereka tetap bersekolah.

Pengorbanannya dan isteri cukup berbaloi apabila anak sulungnya kini bergelar Profesor. Prof. Dr. Mohd. Rozainee kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Anak keduanya, Siti Rohaizah, 48, pula menjadi pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh, Perlis.

Taib bersyukur kerana hasil usaha gigih dan ikhlas selama ini telah membuahkan kejayaan yang lebih daripada diimpikan olehnya.


Sekalipun dia sudah boleh berehat dan bersenang-senang tetapi Taib tetap bersemangat melakukan kerja-kerja menoreh dengan harapan agar kegigihannya itu menjadi contoh kepada anak-anak muda.

“Sekalipun sibuk dengan tugas lain, sehingga ke hari ini kerja menoreh saya lakukan sendiri sama ada di sebelah pagi atau petang tanpa mengupah orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE