Mohamed Azmin berkata, jika penjelasan tidak diberikan dengan sebaik mungkin, rakyat yang terkeliru akan mula mera­gui kewibawaan sebuah institusi penting seperti Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara akan buat penjelasan supaya tidak timbul tafsiran yang merosakkan persepsi umum terhadap Jabatan Peguam Negara.

“Sebab itu penjelasan itu pen­ting supaya tidak ada tafsiran yang salah,” katanya ketika ditemui di lobi sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan ra­suah berhubung pembelian satu lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk memutuskan sama ada beliau layak untuk terus memegang jawatan itu.

Mohamed Azmin yang dicabar Rafizi Ramli berkata, beliau percaya dengan kebijaksanaan perwakilan untuk memilih pe­mimpin yang boleh menguatkan lagi perpaduan ahli dan membawa pendekatan inklusif bagi pembaharuan parti.

“Saya di sini untuk mempertahankan jawatan saya dan saya telah bersama parti sejak 20 tahun lalu. Mereka tahu siapa saya dan melihat sendiri rekod pencapaian saya dan saya serahkan kepada mereka untuk menilai,” ujarnya.