Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, langkah pengurangan itu dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan negara terutama membabitkan pintu masuk dan keluar negara.

"Saya faham kerajaan umum tentang pengurangan penjawat awam tetapi saya harap kalau boleh ikut pandangan untuk sektor keselamatan ia perlu dikaji kerana faktor keselamatan tidak boleh dikompromi.

"Kalau anggota keselamatan kurang ini akan jejas keselamatan negara, sektor lain tak apa tapi tak sepatutnya ia termasuk kakitangan keselamatan sebab kita memang ada kekurangan anggota," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Azis berkata, sebagai contoh, pada masa ini berlaku kekurangan anggota Jabatan Imigresen di dua pintu utama negara iaitu di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah sekali gus memerlukan tambahan 200 kakitangan.

Tambahnya, jumlah mereka yang menggunakan kedua-dua pintu utama negara untuk keluar dan masuk merekodkan seramai 326,000 sehari, bagaimanapun kekuatan kakitangan imigresen buat masa ini hanya seramai 2,000 orang dan bertugas secara giliran. 

Menurut Azis, jumlah anggota itu tidak mencukupi memandangkan 75 peratus pergerakan masuk dan keluar pelancong seluruh negara direkodkan di Johor dan daripada jumlah itu, 71 peratus menggunakan laluan BSI dan KSAB.-UTUSAN ONLINE