Ismail Abd. Muttalib
ISMAIL ABD. MUTTALIB

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, kes yang dicatatkan itu agak membimbangkan berikutan trend kemalangan terbabit, meningkat sejak tiga tahun lepas.

Beliau berkata, statistik kemalangan terbabit sepanjang tahun meningkat sejak 2013 iaitu sebanyak 27,699 (2013), 28,037 (2014) dan 28,591 (2015).

"Lebih membimbangkan, daripada keseluruhan kes dicatatkan tahun lalu, sebanyak 40 peratus daripadanya iaitu 11,330 kes melibatkan pekerja berumur di bawah 30 tahun.

Jika trend ini tidak dibendung, ia menyebabkan kerugian kepada negara kerana kita berpotensi kehilangan khidmat tenaga kerja muda akibat kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutupan program Turun Padang Timbalan Menteri Sumber Manusia di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, 20 pekerja yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja menerima sumbangan insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan pelbagai kategori dan faedah selain sumbangan topi keledar dan minyak enjin kepada lebih 100 golongan belia di daerah ini.

Ismail berkata, antara punca dikenal pasti menyebabkan kemalangan ketika pergi dan pulang kerja adalah kerana pengurusan masa yang lemah, sikap tergesa-gesa, sering melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu dan kelesuan.

"Bagi membendung kes kemalangan terus meningkat, kita di peringkat kementerian sendiri berterusan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam menjalankan program serta kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya. - BERNAMA