NADZIM JOHAN

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun tiada penurunan harga di pasaran utama setakat ini, pihaknya berjaya membuktikan sebaliknya.

Katanya, PPIM melalui program Jualan Harapan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Pengimport Daging Halal Muslim Malaysia (Halmim) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Putrajaya telah mempromosikan jualan barangan harian dengan harga yang lebih murah.

“Ini adalah berdasarkan pengalaman kami di PPIM yang telah lebih dua bulan membantu mempromosikan peniaga menjual barangan harian de­ngan lebih murah.

“Harga barangan di Jualan Harapan Rakyat kami adalah jauh lebih murah, hampir separuh daripada harga jualan biasa. Sebagai contoh, ikan kembung yang dijual antara RM10 hingga RM9 sekilo dijual dengan harga RM5 sekilo sahaja,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Selain itu, harga ayam yang kini mencecah hampir RM7 sekilo dijual dengan harga RM5.99 sekilo.

Tambah Nadzim, pihaknya sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk menyertai program tersebut.

“Kami juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperluaskan lagi program tersebut,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bahawa harga barang keperluan asas akan turun selepas kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) diturunkan kepada kosong peratus.