Tinjauan Utusan Malaysia di pasar berhadapan Plaza Safuan itu mendapati, kontraktor giat meneruskan kerja-kerja pembinaan pasar baharu berkenaan sekali gus membuatkan para peniaga menarik nafas lega.

Sebelum ini golo­ngan pe­niaga yang dijan­jikan tapak perniagaan baharu itu bimbang dan hampa ekoran projek itu tertangguh sekali gus terpaksa menanggung kerugian.

Ini termasuk masalah kesesakan lalu lintas disebabkan ada pe­ngunjung meletakkan ken­deraan mereka sesuka hati dan peniaga menurun-kan barangan perniagaan di laluan awam.

Projek yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Perbadanan Kampong Baharu (PKB) itu mengalami kelewatan ekoran pihak kontraktor bersilih ganti.

Berdasarkan pemerhatian tahap kebersihan di pasar tersebut menunjukkan peningkatan dan para peniaga dilihat semakin berdisiplin.

Tidak nampak longgokan sampah atau sayuran yang bertaburan se­perti dahulu di lorong-lorong belakang pasar sekali gus menunjukkan perkembangan positif.

Dikhabarkan, apabila pasar itu siap kelak akan kelihatan se­perti Pasar Queen Victoria di Melbourne, Australia.

Untuk rekod, idea projek pembangunan semula itu dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan ke pasar itu pada 17 Julai 2011.

Ketika itu, beliau melihat pasar tersebut amat usang yang tidak sesuai lagi untuk para peniaga dan penjaja menjalankan perniagaan mereka di situ.

Pada 22 Julai 2011, satu perbincangan diadakan oleh pihak DBKL bersama persatuan penjaja yang mengesyorkan satu kaedah pembinaan secara berfasa supaya aktiviti penjaja boleh berjalan serentak dengan pembinaan pasar baru.

Kaedah ini diambil kira oleh DBKL dengan memindah penjaja ke gerai sementara dan akan masuk ke bangunan pasar baharu secara berperingkat-peringkat sejurus fasa-fasa tertentu siap.

Pasar yang dijangka siap pada 2021 itu melibatkan kos pembinaan kira-kira RM200 juta meliputi keluasan 48,032 meter persegi dan akan memberi manfaat kepada 1,527 peniaga serta pengunjung, sekali gus menjadi destinasi wajib dikunjungi.