Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ada peniaga yang sebak dan hampir menitiskan air mata ketika menceritakan pengalaman dan kisah mereka sepanjang bertapak di bangunan tersebut.

Salah seorang pemilik kedai permata dan antara peniaga terawal di situ, Lee Chee Keong, 65, berkata, ini kerana pusat beli-belah itu lebih daripada sebuah bangunan semata-mata dan diibaratkan sebagai ikon serta tempat penyatuan golongan pelbagai bangsa.

Malah hubungan Chee Keong di situ dengan pelanggan menjadi begitu akrab dan sangat rapat tanpa mengira latar belakang sehingga diwarisi daripada satu generasi ke ge­nerasi.

“Pelanggan datang ke kedai saya sebab ada nilai sentimental. Contohnya, nenek atau ibu pernah bawa mereka ke sini sewaktu kecil.

“Kadangkala mereka hanya datang untuk berkunjung sahaja dan bertukar pandangan atau mendapatkan maklumat tanpa membeli apa-apa. Pada saya itu tidak penting. Yang mustahak adalah hubungan kami erat dan kukuh,” katanya.

Pusat beli-belah Ampang Park yang dibina pada tahun 1973 oleh Low Keng Huat Brothers Realty Sdn. Bhd. menelan kos sebanyak RM10 juta bakal dirobohkan bagi pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT).

Ampang Park yang menjadi pusat beli-belah pertama di negara ini juga menjadi ikon dan salah satu mercu tanda ketika itu.

Dalam pada itu, pemilik kedai kasut dan pewangi Celeste N Edric, Tommy Yap, 58, berkata, dia turut menggunakan hari terakhir ini sebagai peluang untuk beramah mesra dengan pelanggan.

Menurutnya, walaupun hanya sepuluh tahun berniaga di situ, dia sedih kerana peniaga di situ mempunyai hubungan sangat akrab antara satu sama lain.

“Selain jumlah jualan yang baik, hubungan sesama peniaga di sini juga akrab. Tiada langsung persengketaan. Boleh dikatakan hari-hari saya di sini merupakan hari ceria dan bergurau senda dengan peniaga lain.

“Saya sangat berharap ia juga akan sama di tempat baharu nanti,” katanya.