Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, sehingga kini, kedua-dua pihak belum mengadakan pertemuan berhubung isu berkenaan.

Katanya, beliau berharap agar pengurusan Pasar Raya Besar Giant dapat mengadakan pertemuan berkenaan secepat mungkin.

"Ini adalah cara terbaik supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan harmoni," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan peniaga di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johari berharap supaya mana-mana syarikat yang ingin mengambil-alih perniagaan Pasar Raya Besar Giant itu akan mengguna pakai syarat-syarat digunakan terhadap para peniaga di situ, sebelum ini.

Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan bahawa kira-kira 40 orang peniaga kecil-kecilan Bumiputera di Pasar Raya Besar Giant di sini, kini bakal mengalami kerugian apabila pasar raya tersebut akan ditutup operasinya mulai 16 Februari ini.

Difahamkan kawasan tersebut bakal diambil alih oleh syarikat lain yang sehingga kini belum diketahui.

Para peniaga pula diberi tempoh sehingga 28 Februari ini untuk mengosongkan premis masing-masing. - UTUSAN ONLINE