Walaupun lokasinya di te­ngah laluan di Kuala Berang, ban­dar kecil di pedalaman dan yang paling hampir menuju Tasik Kenyir tetapi ruang niaga ini terus dijauhi pengunjung dan semakin tiada sambutan.

Peningkatan kos sara hidup turut menghimpit kalangan pe­niaga kecil yang kebanyakan­nya wanita warga emas, dengan rata-ratanya mengeluh hasil jualan berkurangan tetapi perniagaan masih perlu diteruskan demi mencari rezeki buat ke­luarga.

HALIMAH RAMLI
HALIMAH RAMLI 

Halimah Ramli, 64, berkata, jika dahulu mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM100 sehari, namun ketika ini belum tentu mereka boleh mencapai jumlah sama sekali pun dalam tempoh se­minggu berniaga dari pagi hingga ke petang.

Katanya, mujurlah gerai yang disewa dengan pihak berkuasa tempatan cuma dikenakan baya­ran sebanyak 50 sen sehari, yang sekali gus membolehkan mereka masih terus bertahan di situ.

“Orang-orang yang datang beli selalunya akan minta tawar, nak tak nak terpaksalah beri juga.

“Bukan banyak sangat saya meniaga, ini sahaja barangnya macam jagung, buah-buahan, ubi kayu, kerepek dan sos. Kos barangan itu semua mahal ditambah pula dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut ibu kepada enam anak dan 11 cucu ini, keluarga pernah memintanya berhenti bekerja tetapi dia memilih untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan sejak 30 tahun lalu itu selepas mengambil-alih daripada datuknya.

Sementara itu, Zawiyah Seman, 52, memberitahu, kea­daan rata-rata peniaga di situ ibarat ‘kais pagi makan pagi’ dan lebih sakit ketika mereka terputus bekalan jagung tempatan sepanjang musim tengkujuh selama tiga bulan ini.

“Setiap kali musim tengkujuh, bekalan memang terjejas kerana kawasan di sini hujan dan banjir jadi, kami terpaksa mendapatkan jagung dari Perak yang kosnya lebih mahal iaitu RM100 untuk seguni berbanding di sini yang cuma RM80 seguni.

“Macam hari ini sudah se­minggu kami terputus bekalan dan semua kedai tidak menjual jagung sedangkan itulah tarikan utama orang ramai berhenti di gerai kami. Walaupun kos tinggi tetapi harga jagung yang dijual tidak berubah dan masih kekal sama,” katanya.

Kata Zawiyah, selain pendapatan yang merosot, peniaga turut berdepan risiko kerugian terutama bagi buah-buahan yang jangka hayatnya tidak panjang.

“Ada masanya buah-buahan ini seperti hiasan sahaja di gerai, tiada orang yang datang sentuh untuk membeli. Apabila dah dua tiga hari tentunya rosak dan kami perlu buang serta tambah bekalan baharu sedangkan hasil jualan sebelum ini pun tidak diperolehi,” katanya.