Perkembangan itu menjadikan urusan jual beli boleh dilakukan di mana-mana sahaja, sehingga ramai dalam kalangan rakyat khususnya anak muda mengambil peluang menjalankan perniagaan dengan memperkenalkan produk masing-masing secara dalam talian.

Bagaimanapun, dalam ke­ghairahan para peniaga dalam talian mempromosi dan menjual produk masing-masing menggunakan kemudahan plaform Internet, satu perkara se­ring dipandang enteng ia­itu mendaftarkan jenama masing-masing dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Disebabkan itu, MyIPO, selain terus berusaha menyuntik kesedaran dalam kalangan orang ramai terutamanya yang terlibat dengan perniagaan dalam talian, mengambil pendekatan memudahkan pro­ses pendaftaran jenama melalui konsep ‘mendekati’ peniaga dan bukannya menunggu.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pe­ngurusan) MyIPO, Mohd. Shahar Osman (gambar) yang memberitahu, untuk tujuan itu, perbadanan ber­kenaan akan menjalankan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut beliau, MyIPO akan mendapatkan statistik pendaftaran syarikat daripada SSM dan akan berusaha mendekati golongan peniaga berkenaan untuk menerangkan kepentingan mendaftar jenama mereka untuk dilindungi supaya tidak diambil pihak lain.

“Kalau kita lihat hari ini, perniagaan dalam talian sangat rancak. Lepasan universiti juga dilihat lebih cende­rung untuk memulakan perniagaan de­ngan menjual pelbagai produk tetapi paling popular sudah tentu makanan, minuman dan rekaan pakaian.

“Kumpulan ini yang kita beri tumpuan untuk daftarkan produk mereka, kebanyakannya merupakan anak muda, golongan belia. Kita akan dekati mereka, terangkan ke­pentingan daftar jenama, jaga produk supaya tidak ditiru atau diambil orang lain.

“Perkara ini penting memandangkan sukar untuk membina reputasi sesuatu produk atau jenama, tetapi dengan mudah diambil oleh orang lain sebab tidak didaftar untuk melin­dunginya dengan MyIPO,” tegas beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat MyIPO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, mendaftarkan jenama dan produk dengan MyIPO juga membuka ruang serta memperluaskan peluang untuk peniaga melebarkan sayap ke negara luar.

Ini kerana katanya, setiap negara di dunia memerlukan produk dari luar didaftarkan hak cipta terlebih dahulu untuk memasuki pasaran mereka.

“Ini kerana harta intelek bersifat ‘kewilayahan’ iaitu walau di mana negara kita mahu masuk, perlu didaftarkan di negara itu. Tetapi langkah pertama perlulah mendaftarkan jenama atau produk di negara sendiri terlebih dahulu,” jelas beliau.

Mohd. Shahar memberitahu, meskipun pendaftaran produk atau jenama sebagai harta intelek bukanlah me­rupakan mandatori sama ada di Malaysia atau negara lain di seluruh dunia, namun tidak melakukannya boleh mengundang kerugian yang besar kepada peniaga.

Katanya, dengan tidak mendaftarkan sebagai harta intelek, peniaga tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengambil atau meniru produk dan jenama mereka.

“Yuran pendaftaran pun tidak mahal, malah tempoh perlin­dungan pula sehingga 10 tahun.

“Impaknya besar, orang lain tidak boleh usik jenama dan produk kita. Sijil yang diberikan pula sama ada untuk cap daga­ngan atau rekabentuk boleh digunakan sebagai bukti konklusif di mahkamah,” katanya.

Menyentuh mengenai kepen­tingan mendaftar jenama de­ngan MyIPO, Mohd. Shahar menjelaskan, ia selaras dengan hasrat kerajaan menerusi program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga berkata, ada di­sebutkan dalam TN50 mengenai sumber kekayaan baharu iaitu harta intelek.

“Dalam TN50, ada disebutkan juga supaya generasi hari ini mula melihat kaedah baharu untuk menjana pendapatan. Sama ada secara individu atau orga­nisasi yang akhirnya menyum­bang kepada pendapatan dan kemajuan negara. Jadi, berpandukan hasrat itu, harta intelek merupakan antara agenda utama negara,” jelas beliau.