Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat KPDNKK daerah, Mohd. Koma Shapii berkata, bagaimanapun pihaknya telah memberi teguran dan amaran kerana terdapat beberapa kesalahan kecil mengenai penggunaan tanda harga.

Katanya, sebanyak 19 premis penjualan barang basah diperiksa mendapati secara keseluruhannya terdapat peniaga belum menukar tanda harga baharu.

“Kita melihat kekeliruan itu mungkin timbul kepada pengguna dan masalah berkenaan sudah diberi peringatan kepada peniaga terbabit untuk membuat pengubahsuaian segera.

“Secara keseluruhannya harga barangan basah masih lagi kekal seperti sebelum bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bersama anggotanya pagi ini.

Mohd. Koma juga memberi amaran kepada peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, agensi itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan surat kompaun kepada peniaga jika gagal berbuat demikian.

“Pemeriksaan seumpama itu akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini sehingga Hari Raya Aidilfitri nanti supaya pengguna tidak dibebani dengan kenaikan harga barang keperluan,” katanya.

Tambah Mohd. Koma, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini Januari hingga April sebanyak 2,372 premis diperiksa di seluruh daerah ini dan daripada jumlah itu sebanyak 78 kes telah diambil tindakan.

“Antaranya Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 28 kes, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebanyak 35 kes, Akta Perlindungan Pengguna 1999 satu kes, Akta Perihal Dagangan 2011 sebanyak dua kes dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1962 sebanyak 12 kes.

“Sebanyak 11 kes daripada 12 kes di bawah AKB 1962 telah selesai dengan bayaran kompaun manakala satu kes lagi sudah dituduh di mahkamah. Nilai rampasan bawah AKB itu sebanyak RM162, 591,” katanya. - UTUSAN ONLINE