Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Bukit Bintang Kuala Lumpur, Hassan Saad berkata, UDA dengan kerjasama Tradewinds Corporation Berhad (Tradewinds) sepatutnya membangunkan semula tapak kompleks yang dirobohkan pada Disember 2014 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

Namun, katanya, sehingga kini tiada sebarang pembangunan dibuat di atas tapak tersebut malah janji-janji yang dibuat dengan peniaga seperti menyediakan tempat berniaga sementara serta pampasan langsung tidak diberikan kepada para peniaga.

“Dalam 164 orang peniaga di BB Plaza, 60 peratus adalah orang Melayu dan kami sangat sedih dan kecewa apabila UDA yang sepatutnya membantu orang Melayu membiarkan sebahagian besar peniaga-peniaga BB Plaza kesusahan sampai ada yang gulung tikar sedangkan mereka tidak ada masalah membela peniaga Ampang Park sebelum ini.

“Jadi apabila kerajaan kini diterajui oleh Pakatan Harapan, ini satu sinar harapan buat kami sebab itu kami memohon kerajaan baharu menyemak semula peranan UDA, berilah peluang kepada bumiputera seperti kami berniaga di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan himpunan aman di hadapan bekas tapak Kompleks BB Plaza di sini, hari ini.

Sementara itu, UDA dalam satu kenyataan menafikan beberapa dakwaan para peniaga BB Plaza mengenai salah laku syarikat itu malah berjanji akan menawarkan tempat kepada peniaga-peniaga tersebut sebaik sahaja tapak kompleks itu siap dibangunkan.

“Projek pembangunan semula kompleks itu dikendalikan oleh syarikat Zurah Permai iaitu syarikat milik usahasama antara Tradewinds dan UDA, jadi setelah pembangunan siap sepenuhnya, UDA akan menawarkan semula kepada penyewa sedia ada ruangan kedai mengikut syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE